Thursday, 1 September 2016

Seni Berbalas Pantun.


                                                                                                                                    
SENI berpantun itu memerlukan si pemantun mempunyai daya kreativiti untuk mencipta pantun untuk dijual kepada lawannya.  Pada masa yang sama dia juga perlu menjadi  penganalisis yang cekap untuk menterjemah maksud pantun yang dijual kepadanya.  Kemudian dia akan mencipta pantun baru untuk membalas  kepada si penjual. Bakat memainkan peranan utama.  Keduanya ialah ilmu berpantun.

      Ayuh kita sama-sama menyelami ilmu berpantun secara ringkas:-

  Pantun boleh diucapkan dengan berbagai tema seperti keagamaan, kebudayaan, percintaan, patriotik, jenaka, budi bahasa, budaya membaca,dll.  Pemantun mesti tahu tema apa yang mahu dibina pantun itu kerana ia berkait rapat dengan pemilihan kosa kata dan permainan bahasa di dalam pantunnya.  

   Justeru, bahagian mana yang mahu diteliti oleh pendengar / audiens / juri apabila seseorang itu berpantun?

    Pertama, yang dinilai ialah isi pantun. Isi pantun ialah maksud pantun tersebut. Jika pantun 4 baris, maksudnya terletak di baris ke-3 dan ke-4.

            Cuba perhatikan maksud pantun berikut:-
            Nasi lemak buah bidara,
                        Sayang selasih hamba lurutkan;
            Buang emak buang saudara,
                        Kerana kasih hamba turutkan.

     Sebagai pendengar / audiens / juri bagaimana pantun itu diklaskan setelah meneliti ayat-ayat di baris maksud?  Pemilihan kalimatnya bagus? Ia berkaitan dengan temanya?  Bahasanya indah?  Sedap didengar dan berasa terkesan di hati? Jika daripada 10 markah, berapakah nilai bagi baris maksud pantun tersebut?

     Nah, keduanya; isi pantun itu dinilai dari segi pemilihan kata / bait / frasa serta nilai murni yang tersirat.

    Pemantun yang bijak akan memilih kata-kata / kalimat yang istimewa sehingga apabila disusun di dalam baris-baris pantun, kelihatan padat dan jitu. 

    Sebagai contoh cuba buat penilaian terhadap pemilihan kata-kata dan nilai murni dalam pantun berikut:-

            Buah langsat kuning mencelah,
                        Senduduk tidak berbunga lagi;
            Sudah dapat gading bertuah,
                        Tanduk tidak berguna lagi.

   Penilaian seterusnya  ialah aspek bahasa.  Tidak begitu susah menilainya. Rujuk pantun di atas untuk perbahasan aspek ini.

   Mula dilihat, rima tengah dan rima hujungnya. Dengarkan sebutan / bunyi pada rima-rima yang dihitamkan itu.  Apabila dilafazkan, ia melahirkan rima yang enak.

   Manakala penilaian keempat ialah suku kata setiap baris pantun tersebut.  Bilangan suku kata setiap baris pantun mestilah di antara 8 suku kata sehingga 12 suku kata sahaja.

    Mari kita lihat... (setiap satu suku kata di tandai dengan / ).

            Bu/ah lang/sat ku/ning men/ce/lah,                       9 suku kata
                        Sen/du/duk ti/dak ber/bu/nga la/gi;           10 suku kata
            Su/dah da/pat ga/ding ber/tu/ah,                            9 suku kata
                        Tan/duk ti/dak ber/gu/na la/gi.                     9 suku kata

   Bermakna bilangan suku kata dalam pentun di atas adalah terkawal. Yakni, dari 9 – 10 suku kata sahaja.

     Perkara yang dilihat seterusnya ialah keindahan bahasa.  Di sini kita melihat pertautan / hubungan di antara baris 1 dan 2.  Kedua-duanya mesti berkaitan dan ada cerita.  Juga dilihat kerasian di antara baris pembayang ( baris 1 dan 2 ) dengan baris maksud ( baris 3 dan 4 ).

      Lihat perhubungan-perhubungan tersebut di dalam pantun berikut:-

            Halia ini tanam- tanaman,
                        Ke barat juga akan condongnya;
            Dunia ini pinjam-pinjaman,
                        Akhirat juga akan sungguhnya.

      Walaupun baris 1 dan 2 itu pembayang, di dalamnya sudah ada cerita dan kedua-duanya bertaut. Yakni, halia yang ditanam itu akhirnya akan mati juga. Nah, itu memberi gambaran kepada maksud yang hendak disampaikan oleh pemantun di baris maksud. Iaitu, manusia yang hidup di muka bumi ini hanya sementara. Semuanya akan kembali ke akhirat juga.

    Seterusnya, tidak lengkap berpantun sekiranya tidak melihat dan menilai gaya si pemantun tersebut.  Bahasa tubuh / gerak fizikal memainkan peranan untuk menarik minat audiens mengikuti pantunnya. Di sampin ia memberi gambaran bahawa si pemantun menghayati isi pantunnya.
           
     Pantun itu hendaklah juga dilontar dengan intonasi suara yang bersesuaian dengan tema dan isi pantun.  Pantun percintaan tentulah intonasinya lebih beralun berbanding pantun patriotik.

      Si pemantun juga harus lancar menyampaikan pantunnya kepada pembeli / pendengar.  Dan ditambah pula dengan sebutan baku untuk memberi kesedapan pendengaran dan penghayatan pantun.

     Penonton / pendengar tentu tertarik jika pemantun menyampaikan pantunnya dengan gerak tangan yang seimbang menandakan dia faham maksud pantun yang dijual / dibelinya.

    Jelingan dan senyuman dizahirkan berdasarkan mood diksi yang terdapat di dalam pantun membantu sang pemantun melahirkan pantunnya dengan menarik kepada pendengar / penonton.

    Untuk menguasai kecekapan dan kelancaran berpantun tentulah sekali rujukan dan latihan perlu dijalankan sepanjang masa. 

       Selamat berkarya!


Sunday, 7 August 2016

Sajak 02 : Ladang Merdeka.

Ladang Merdeka.


Angin rahmat telah lama membelai kehidupan warga
era kesenangan telah lama mewarnai
daerah pahit maung watan
inilah masa mengisi setiap nadi dengan piala kejayaan
inilah masa berjuang memaknakan kemerdekaan dengan tiara kegemilangan.

Nyahkan sifat Mat Jenin
yang leka berangan kosong memanjang
nyahkan sikap Lebai Malang
yang tamakkan laba dilanda walang
usahlah jadi Pak Pandir, salah tingkah dik salah merancang
usahlah jadi Pak Kaduk, terpulas akal kecundang berjuang.

Selamat tinggal padang sengsara dan gurun kemelaratan
selamat tinggal parut derita dan kudis-kudis kemunduran
mari kita bina wisma jati diri bangsa berdaulat terhormat
mari kita junjung mahkota maruah bangsa bermartabat.

Ayuh kita pugar ladang merdeka cinta ini dengan visi keramat!
lambaukan dadanya benih kemakmuran
dan suburkan dengan baja tawakal
kelak runduk hasilnya mengisi
keranjang rezeki peneroka berwawasan
memperkayakan minda, memperteguhkan rohani-jasmani
generasi teknousahawan
bersemangat gigih, sarat berjuang
mengisi horizon kemerdekaan
melakar kemajuan kental mengukir ketamadunan pertiwi.

Bangunlah meneroka ladang merdeka ini dengan pakaian global
gemburkan batas-batas watan dengan jentera aspirasi pertiwi            
berpaksikan cendekia ilmu multi-tipa serta akal berwibawa
melangkah anggun ke pentas marcapada penuh kebanggaan.

Mari kita lestarikan impian berpadukan tindakan praktikal
berkongsi inspirasi menjana ekonomi pasca alaaf
menawan arked industri
tangkas menguasai galeri ICT dan kecanggihan
teknologi masa depan
pintar memintas gelombang globalisasi
melangkaui relung waktu
kita membina entiti imej berprestij melatari pentas dunia
disanjungi wargajagat
bangsa Malaysia gagah perkasa dan terhebat .

Cintai negara berdaulat mengasihi bonda ratu hati
sepanjang hayat
sayangi bangsa bermaruah menyayangi pesaka bonda tercinta
semarakkan budaya berbudi bahasa
membelai keayuan wajah remaja
pelihara kemuliaan agama menjulang maruah insan
ke puncak Al-A’Raaf.


Kangar, Perlis.
23.1.2005

Catatan :

1. Diterbitkan dalam Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan JAMUNG MERDEKA, Gapeniaga Sdn. Bhd. 2005.

2. Telah dideklamasikan oleh Che Nu Alinar bt.Mohamad di Auditorium DBKL  sempena Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 dan beliau telah menjadi juara.












Saturday, 6 August 2016

Sajak 01 : Masih Ada Waktu.


Masih Ada Waktu.



I.
Derita tubuh kita adalah derita bumi
derita dunia yang cedera, disiat pembangunan
seperti  yang sedang  kita rasakan.

Bumi umpama wanita tua 
memakai perhiasan, bersolek  dan  berdandan
namun dalam tubuhnya  bermukim beraneka penyakit
pemanasan global, banjir besar, dan tanah runtuh
gejala daripada kesakitan yang dialaminya.

Ketika manusia asyik berperang, nazaknya kian parah
saat anak-anaknya bersengketa ; galak meletupkan nuklear, C4, water canon, molotov, senjata kimia dan radioktif
di bawah perut wanita tua itu @ ibu pertiwi,  telah ada
batu-batu retak, patah dimamah asid mendapan kilang
merambah tanah merosakkan nadi, sendi,
tulang belakang dan saraf tunjang tubuhnya
Berbekalkan senjata akal, manusia mencipta
scud, tomahawk, kapal selam dan ribuan senjata lagi
diangkat tujuan menghalalkan cara mengemudi nafsu
keegoan menguasai diri , kebesaran Allah di lupakan
di depan mata, kemusnahan bermaharajalela
tangisan demi tangisan bertele-tele menagih simpati
diturunkan bala untuk diinsafi
manusia diuji ! Manusia diuji!.

Kesakitannya semakin melarat sehingga dia terkaku
Oleh leluasanya kerosakan di  muka bumi,
merobek tangkai hatinya ;
perpecahan dalam keluarga kian melanda
pertelagahan menjadi rencah hidup
isteri enggan mentaati suami, apalagi menghormatinya        
cerminan keruntuhan akhlak.

Dalam keghairahan meneguk madu duniawi      (TV3 999 – 19.9.2013)
ada jerat yang menanti
DADAH!
malapetaka bagai supernova
menelan modal insan tanpa nuraga
oleh musuh-musuh menjatuhkan Islam•
( Sungguh menyedihkan,  mangsanya  kebanyakan  –  peribumi sendiri ! ) .

Sikap individualistik
punca rang muda luntur nilai murni
kehidupan berkelompok, tolong-menolong, hormat-menghormati, nasihat-menasihati
bukan lagi amalan utama kehidupan
anak-anak tidak mendengar kata
menentang ibu bapa
sikap ramah mesra, muhibah dan kasih sayang senipis kulit bawang
sedangkan Islam menggalakkan silaturrahim.

Kekayaan, harta benda, menjadi penanda aras kelas sosial
terpahat dalam pemikiran moden yang bebas
tidak ada roh, tiada alam ghaib
dosa dan pahala,  syurga dan neraka,  malaikat dan syaitan, iblis dan jin
kubur – akhirat, padang Masyhar- Siratulmustaqim
Laillahhaillallah!

Iman lemah punca kepincangan
Nilai negatif, budaya kuning dan budaya Barat bercambah-cambah
sekularisme,  liberalisme,  hedonisme,  materialisme,
berkembangbiak•   Rencaman pengaruh berseronok
membajai  hawa nafsu kelazatan duniawi
anak-anak sarat dimandikan kemewahan
terumbang-ambing menelusuri lorong hidup berkelok-kelok .

Di zaman dunia tanpa sempadan, hubungan terlarang menular
miskin atau kaya, mudah terjebak
video lucah dan internet tersedia diakses,
terhumbanlah zuriat-zuriat tidak berdosa
persis sampah, hanyut bersama hanyir arus sungai
atau terperap dalam longkang dan parit
oleh tindakan jahil menutup aib pelaku terlanjur
bagai manusia zaman jahiliah.

Gejala sumbang mahram galak membiak
dipaksa dinodai atau rela, seperti bermukah
serta perilaku  bersekedudukan , pengguguran
nafsu serakah meruntuhkan tembok iman
perlakuan melampaui batas-batas kemanusiaan, ribut sosial
atau agama, mengancam keselamatan keturunan
juga kehancuran rumahtangga.

II.
Bumi  umpama wanita tua digilai pemuda dahulu,
sedang terbaring nazak
memerhati gelagat insan masih gila berperang,
di ujung nyawanya•
dia menjadi tua lantaran karenah  anak-anaknya
yang tidak sudah-sudah bersengketa.

Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta,
atau pelacur…perempuan simpanan atau perempuan jalang?

Perlakuan buruk manusia memporak-peranda dunia ini
kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat
ketika dunia tidak dapat lagi menanggung kebejatan akhlak
akibat perang nafsu-nafsi  manusia.

Dunia kian nazak dengan sistem yang dipelopori Barat
kebencian terhadapnya merebak ke seantero dunia
sistem materialisme dunia telah memesongkan akidah manusia
sehingga mereka  semakin jauh  daripada ajaran Illahi.

V.O :
“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan,” maksud firman Allah SWT.

Pada kesempatan yang ada ini
Wajar diperkukuh ajaran suci Islam,
saat pintu kesedaran masyarakat dunia telah terbuka•

Masih ada waktu
barisan ulama bangun mengepalai dayausaha
nyalarasa memperkasakan Islam kepada dunia
Demi kelangsungan sentosa masa muka .


19 September 2013
Behor Lateh, Perlis.


Catatan:

  1. Diterbitkan dalam  Antologi Puisi Manzilah-Manzilah 2015 LovRinz Publishing, Malang, Jatim, Indonesia.
  2. Telah dideklamasikan dalam majlis Malam Puisi Riong Berita Harian BH-Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP)-Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di Dewan 2020 Kangar, Perlis, Malaysia. Tahun 2013.