Angin rahmat telah lama membelai kehidupan warga
era kesenangan telah lama mewarnai
daerah pahit maung watan
inilah masa mengisi setiap nadi dengan piala kejayaan
inilah masa berjuang memaknakan kemerdekaan dengan tiara
kegemilangan.
Nyahkan sifat Mat Jenin
yang leka berangan kosong memanjang
nyahkan sikap Lebai Malang
yang tamakkan laba dilanda walang
usahlah jadi Pak Pandir, salah tingkah dik salah
merancang
usahlah jadi Pak Kaduk, terpulas akal kecundang berjuang.
Selamat tinggal padang sengsara dan gurun kemelaratan
selamat tinggal parut derita dan kudis-kudis kemunduran
mari kita bina wisma jati diri bangsa berdaulat terhormat
mari kita junjung mahkota maruah bangsa bermartabat.
Ayuh kita pugar ladang merdeka cinta ini dengan visi keramat!
lambaukan dadanya benih kemakmuran
dan suburkan dengan baja tawakal
kelak runduk hasilnya mengisi
keranjang rezeki peneroka berwawasan
memperkayakan minda, memperteguhkan rohani-jasmani
generasi teknousahawan
bersemangat gigih, sarat berjuang
mengisi horizon kemerdekaan
melakar kemajuan kental mengukir ketamadunan pertiwi.
Bangunlah meneroka ladang merdeka ini dengan pakaian
global
gemburkan batas-batas watan dengan jentera aspirasi
pertiwi
berpaksikan cendekia ilmu multi-tipa serta akal berwibawa
melangkah anggun ke pentas marcapada penuh kebanggaan.
Mari kita lestarikan impian berpadukan tindakan praktikal
berkongsi inspirasi menjana ekonomi pasca alaaf
menawan arked industri
tangkas menguasai galeri ICT dan kecanggihan
teknologi masa depan
pintar memintas gelombang globalisasi
melangkaui relung waktu
kita membina entiti imej berprestij melatari pentas dunia
disanjungi wargajagat
bangsa Malaysia gagah perkasa dan terhebat .
Cintai negara berdaulat mengasihi bonda ratu hati
sepanjang hayat
sayangi bangsa bermaruah menyayangi pesaka bonda tercinta
semarakkan budaya berbudi bahasa
membelai keayuan wajah remaja
pelihara kemuliaan agama menjulang maruah insan
ke puncak Al-A’Raaf.
Kangar, Perlis.
23.1.2005
Catatan :
1. Diterbitkan dalam
Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan JAMUNG MERDEKA,
Gapeniaga Sdn. Bhd. 2005.
2. Telah
dideklamasikan oleh Che Nu Alinar bt.Mohamad di Auditorium DBKL sempena Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka
2008 dan beliau telah menjadi juara.
No comments:
Post a Comment